Followers

Sunday, 24 August 2014

MADRASAH TAHFIZ HIDAYATUL ULUM DI BUMI RIO


Sungai Petani, 23 Ogos 2014 - Madrasah Tahfiz Hidayatul Ulum (MTHU) kini dibuka di RIO, Ambangan Heights. Satu majlis perasmian dan jamuan Aidilfitri telah diadakan dengan jayanya. Majlis turut dihadiri oleh warga RIO dan Ambangan Heights serta pelajar MTHU, Kampung Teluk Air Tawar. MTHU yang berpusat di Kampung Teluk Air Tawar, Pulau Pinang kini melebarkan sayap operasinya dengan memilih Sungai Petani sebagai salah satu dari cawangannya.

MTHU yang baru seminggu beroperasi ini masih memerlukan dana untuk menampung perbelanjaan harian dan kelengkapan rumah. Menurut Mudir MTHU iaitu Ustaz Khairul Amin, sumbangan berbentuk sedekah ataupun wakaf amat diperlukan untuk pembangunan MTHU seterusnya. Beliau amat terharu dan bersyukur apabila ada hamba Allah yang sudi menyumbangkan sebuah rumah yang serba indah ini untuk dijadikan sebagai sebuah madrasah tahfiz. Justeru, beliau amatlah mengalu-alukan kehadiran mana-mana pihak, samada individu atau agensi korporat yang berminat untuk menyalurkan sebarang bentuk sumbangan.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 261, Maksudnya: "Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaan-Nya, lagi meliputi ilmu pentetahuan-Nya".

MTHU turut menyatakan hasrat untuk membuka kelas-kelas pengajian Al-Quran kepada anak-anak RIO dan Ambangan Heights, yang mana tertakluk kepada kapasiti tenaga pengajar yang ada. Makluman ini akan dihebahkan kepada umum.

Ustaz Khairul Amin menyatakan bahawa usaha memperjuangkan institusi seumpamanya adalah satu usaha yang berterusan demi maslahah ummah secara keseluruhan. Sudah menjadi impian setiap institusi seperti MTHU untuk melahirkan golongan Hufaz yang berjaya di dunia dan akhirat. Golongan Hufaz yang dilatih di sini bukan sahaja dapat menguasai Al-Quran dan As-Sunnah semata-mata, bahkan mereka ini akan juga dapat menguasi ilmu duniawi seperti yang saling melengkapi di antara satu sama lain.

Bagi warga RIO, ini merupakan satu rahmat Allah, di mana bumi RIO telah tertulis dan terpilih sebagai tapak MTHU. Semoga seluruh warga RIO dan Ambangan Heights dapat bersama membantu ke arah pembangunan MTHU dan mengambil manfaat yang sewajarnya.

Kepada mereka yang berminat untuk pendaftaran atau menghulurkan sumbangan boleh terus menghubungi Mudir MTHU, Ustaz Khairul Amin di talian 013-406 4373 atau terus ke MTHU yang beralamat di No. 747, Jalan Melor 5/12, Persiaran Amanjaya 10, Bandar Amanjaya, 08000 Sungai Petani, Kedah Darul Aman.

Wednesday, 23 July 2014

Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfiti Kepada Seluruh Warga RIO & Ambangan Heights


Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera.

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Ilahi, kerana dengan keizinan Nya dapat kita menyempurnakan ibadah puasa untuk tahun 1435H. Ramadhan Kareem kian melabuhkan tirainya. Giliran Syawal mulia bakal menjelma. 

Sudah semestinya ramai di antara kita sedang sibuk dengan persiapan untuk menyambut hari berbahagia. Namun, apa yang lebih penting adalah harapan dan doa kita agar Ramadhan tahun ini jauh lebih baik dan sempurna dari tahun-tahun sebelumnya.

Harapan selamanya juga agar ukhwah yang terbina di antara kita seluruh warga RIO dan Ambangan Heights akan terus dipelihara. Ukhwah ini akan lebih bermakna apabila ianya dibentuk dengan penuh keikhlasan dan dipelihara dengan kasih sayang yang penuh istiqomah

Marilah kita bersama menyuburkan ikatan yang terbina ini tanpa mengira harta, pangkat dan agama. Semoga budaya kunjung mengunjung sesama kita dapat diteruskan dengan penuh kemeriahan di bumi RIO.

Saya menyeru kepada seluruh warga RIO dan Ambangan Heights agar tidak terlalu leka menyambut Aidilfitri yang kian tiba. Kepada mereka yang akan pulang ke kampung halaman. Pastikan pintu-pintu dan jendela-jendela selamat dikunci, suis perkakas elektrik ditutup. Apa yang lebih penting, pandulah dengan penuh berhati-hati. Semoga perjalanan pulang anda semua selamat hendaknya.  

Di kesempatan ini juga saya ingin menyusun jari-jemari ini bagi memohon ampun dan maaf di atas segala kekhilafan dan kelemahan diri saya selama ini. Marilah kita bersama bermaaf-maafan. Saya dengan ini mengucapkan "Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir & Batin" kepada semua Ahli Jawatankuasa Penaja Persatuan Penduduk RIO Ambangan Heights serta seluruh warga RIO dan Ambangan Heights.




Yang Ikhlas,

Pengerusi Jawatankuasa Penaja
Persatuan Penduduk RIO Ambangan Heights





Monday, 7 July 2014

Dapatkan Juadah Berbuka Puasa Istimewa Geng "Sorat Malam" RIO!!!



Dapatkan juadah istimewa di warung Geng "Sorat Malam" berhadapan dengan Econojaya, Bizpark Ambangan untuk hidangan berbuka puasa anda hari ini. Rasakan kambing bakar dengan perapan dan sos lada hitam resipi istimewa serta pilihan aneka jus buah-buahan seperti jus Amra Asam Boi, Epal Hijau Asam Boi, Oren, Tembikai, Lobak Merah Susu dll. . 




Seluruh warga Ambangan dan RIO khususnya, anda dijemput datang beramai-ramai bagi memberikan sokongan serta mencuba sendiri juadah yang disediakan. Harga menarik ditawarkan!!!

Wednesday, 25 June 2014

Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak 1435H




Firman Allah SWT dalam ayat 82  surah al-Isra’: 


Maksudnya : Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.


Kedatangan bulan Ramadhan Al-Mubarak mengingatkan kita kembali kepada peristiwa di mana Allah SWT menurunkan al-Quran sebagai panduan umat Muhammad SAW. Maka sudah semestinya menjadi tanggungjawab kita bersama bukan sekadar membaca al-Quran untuk mengejar fadhilatnya, tetapi apa yang jauh lebih penting adalah untuk kita sama-sama memahami, menghayati, mengamalkan seterusnya menjadikan al-Quran sebagai panduan utama dalam kehidupan harian sebagai hamba Allah SWT. Ibarat kata alim ulama bahawa sesuatu yang agak pelik apabila ramai di kalangan umat Islam mengadu tidak mampu untuk menyelesaikan masalah kehidupan mereka sedangkan mereka lupa bahawa al-Quran adalah penyembuh segala penyakit dan kesukaran yang sentiasa ada di samping mereka. Sebagai renungan kita bersama, ingatlah bahawa sebagai seorang manusia, kita bukanlah dimuliakan kerana harta, bangsa atau keturunan. Sebaliknya, mulianya kita adalah dengan taqwa yang terbina hasil pengamalan kita kepada isi kandungan al-Quran. Marilah bersama kita menyemai dan menyuburkan bulan yang mulia ini dengan memperbanyakkan amal ibadah. 


Tuesday, 10 June 2014

PENGHANTARAN BORANG KEAHLIAN KAWALAN KESELAMATAN RIO



Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera.

Sukacita dimaklumkan bahawa Jawatankuasa Penaja PKRAH dengan ini memohon kerjasama dan jasabaik pihak tuan/puan untuk mengembalikan semula Borang Keahlian (G&S/Form (A) v. 1.0)  yang telah diedarkan sebelum ini ke rumah bernombor 609, Jalan Melor 6, Persiaran Amanjaya 10, Bandar Amanjaya, 08000 Sungai Petani, Kedah Darul Aman untuk tindakan seterusnya.

Sebagai makluman, satu sesi mesyuarat khas untuk membincangkan isu kawalan keselamatan ini akan diadakan pada ketetapan tarikh yang akan diberitahu kelak iaitu dalam tempoh yang terdekat. Ini kerana, pihak Jawatankuasa Penaja PKRAH amat serius dalam menangani permasalahan dan isu keselamatan RIO.

Diharapkan perkara ini mendapat perhatian dan kerjasama pihak tuan/puan.


Sekian, terima kasih.

Wassalam & Salam hormat.

Monday, 9 June 2014

PEMBINAAN SURAU ZON MELOR GIAT DIJALANKAN


19 hari menjelang ketibaan bulan Ramadhan Al-Mubarak. Marilah kita bersama saling menyuburkannya.

PROGRAM JELAJAH ALUNAN YASIN, IMARAH RIO




 

Sukacita dimaklumkan bahawa Persatuan Komuniti RIO Ambangan Heights (PKRAH) menganjurkan program Jelajah Alunan Yasin, Imarah RIO” sepanjang tahun.



Sebagai makluman, program ini adalah nukilan ilham para sahabat RIO yang telah dibincangkan secara musyawarah. Objektif utama program adalah untuk mengimarahkan budaya membaca Yasin secara berjemaah di dalam Komuniti RIO dan berterusan. Program ini akan dijalankan setiap hari Khamis malam dan akan diadakan secara bergiliran dan berturutan, di rumah RIO seperti yang dipersetujui dan disepakati oleh ahli jemaah.

 Misi program adalah seperti yang berikut:-


  • Membudayakan bacaan Yasin secara berjemaah/berkumpulan.
  • Membina ukhwah secara sihat dan bermanfaat.
  • Menjadikan medium latihan komunikasi & dakwah untuk ahli jemaah & komuniti.
  • Mencari keberkatan dunia & akhirat 


Visi program adalah untuk menjadikan Komuniti RIO sebagai sebuah komuniti yang sepakat dan harmoni serta sentiasa dilindungi, diberkati dan dirahmati Allah SWT.



Oleh itu, Komuniti RIO yang berkelapangan dan berminat adalah dijemput untuk bersama menjayakan program ini. Kepada yang ingin menjadi Tuan Rumah untuk program ini, boleh memberikan pengesahan pesanan Whatsapp (Group: RIO-Ambangan Heights) ATAU menghubungi En. Besari, Setiausaha Jawatankuasa Pemandu PKRAH di talian 019-549 2803.



Sekian, dimaklumkan.

والســلام




Ikhlas dari Jawatankuasa Penaja PKRAH