Followers

Sunday, 24 August 2014

MADRASAH TAHFIZ HIDAYATUL ULUM DI BUMI RIO


Sungai Petani, 23 Ogos 2014 - Madrasah Tahfiz Hidayatul Ulum (MTHU) kini dibuka di RIO, Ambangan Heights. Satu majlis perasmian dan jamuan Aidilfitri telah diadakan dengan jayanya. Majlis turut dihadiri oleh warga RIO dan Ambangan Heights serta pelajar MTHU, Kampung Teluk Air Tawar. MTHU yang berpusat di Kampung Teluk Air Tawar, Pulau Pinang kini melebarkan sayap operasinya dengan memilih Sungai Petani sebagai salah satu dari cawangannya.

MTHU yang baru seminggu beroperasi ini masih memerlukan dana untuk menampung perbelanjaan harian dan kelengkapan rumah. Menurut Mudir MTHU iaitu Ustaz Khairul Amin, sumbangan berbentuk sedekah ataupun wakaf amat diperlukan untuk pembangunan MTHU seterusnya. Beliau amat terharu dan bersyukur apabila ada hamba Allah yang sudi menyumbangkan sebuah rumah yang serba indah ini untuk dijadikan sebagai sebuah madrasah tahfiz. Justeru, beliau amatlah mengalu-alukan kehadiran mana-mana pihak, samada individu atau agensi korporat yang berminat untuk menyalurkan sebarang bentuk sumbangan.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 261, Maksudnya: "Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaan-Nya, lagi meliputi ilmu pentetahuan-Nya".

MTHU turut menyatakan hasrat untuk membuka kelas-kelas pengajian Al-Quran kepada anak-anak RIO dan Ambangan Heights, yang mana tertakluk kepada kapasiti tenaga pengajar yang ada. Makluman ini akan dihebahkan kepada umum.

Ustaz Khairul Amin menyatakan bahawa usaha memperjuangkan institusi seumpamanya adalah satu usaha yang berterusan demi maslahah ummah secara keseluruhan. Sudah menjadi impian setiap institusi seperti MTHU untuk melahirkan golongan Hufaz yang berjaya di dunia dan akhirat. Golongan Hufaz yang dilatih di sini bukan sahaja dapat menguasai Al-Quran dan As-Sunnah semata-mata, bahkan mereka ini akan juga dapat menguasi ilmu duniawi seperti yang saling melengkapi di antara satu sama lain.

Bagi warga RIO, ini merupakan satu rahmat Allah, di mana bumi RIO telah tertulis dan terpilih sebagai tapak MTHU. Semoga seluruh warga RIO dan Ambangan Heights dapat bersama membantu ke arah pembangunan MTHU dan mengambil manfaat yang sewajarnya.

Kepada mereka yang berminat untuk pendaftaran atau menghulurkan sumbangan boleh terus menghubungi Mudir MTHU, Ustaz Khairul Amin di talian 013-406 4373 atau terus ke MTHU yang beralamat di No. 747, Jalan Melor 5/12, Persiaran Amanjaya 10, Bandar Amanjaya, 08000 Sungai Petani, Kedah Darul Aman.