Apakah erti dan nilai sebuah kemerdekaan? Adakah kita pernah menyelami dan menjiwai maksud sebenar perjuangan terdahulu dalam usaha mencapai kemerdekaan yang kita sedang nikmati hari ini. Maka, seharusnya kita perlu sentiasa bersyukur di atas kurniaan kehidupan hari ini. Belajarlah untuk menghargai segala usaha, jasa, keringat, perjuangan, pengorbanan mereka-mereka yang telah memperjuangkan kemerdekaan sejak lebih 58 tahun yang lalu.
Menyelongkar rahsia kemerdekaan ini, kita sebenarnya telah dihidangkan dengan pelbagai rahsia dan resepi kejayaan, sebagai warisan untuk kita pelajari. "Sehati Sejiwa", merupakan antara elemen penting yang telah diadunkan satu masa dahulu, dan terbukti amat berkesan dalam mengecap kemerdekaan.
Ianya adalah soal kebersamaan dan kesatuan, yang berjaya dibentuk dalam sesebuah organisasi. Maka, sudah seharusnya kita mengambil contoh terbaik ini, untuk terus berusaha dalam memupuk perpaduan di kalangan masyarakat RIO melalui penerapan konsep "Sehati Sejiwa" yang juga merupakan tema sambutan hari kemerdekaan untuk tahun 2015. RIO ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan "Selamat menyambut hari kemerdekaan ke-58" kepada seluruh warga RIO dan rakyat Malaysia.
