Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera.
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Ilahi, kerana dengan keizinan Nya dapat kita menyempurnakan ibadah puasa untuk tahun 1435H. Ramadhan Kareem kian melabuhkan tirainya. Giliran Syawal mulia bakal menjelma.
Sudah semestinya ramai di antara kita sedang sibuk dengan persiapan untuk menyambut hari berbahagia. Namun, apa yang lebih penting adalah harapan dan doa kita agar Ramadhan tahun ini jauh lebih baik dan sempurna dari tahun-tahun sebelumnya.
Harapan selamanya juga agar ukhwah yang terbina di antara kita seluruh warga RIO dan Ambangan Heights akan terus dipelihara. Ukhwah ini akan lebih bermakna apabila ianya dibentuk dengan penuh keikhlasan dan dipelihara dengan kasih sayang yang penuh istiqomah.
Marilah kita bersama menyuburkan ikatan yang terbina ini tanpa mengira harta, pangkat dan agama. Semoga budaya kunjung mengunjung sesama kita dapat diteruskan dengan penuh kemeriahan di bumi RIO.
Saya menyeru kepada seluruh warga RIO dan Ambangan Heights agar tidak terlalu leka menyambut Aidilfitri yang kian tiba. Kepada mereka yang akan pulang ke kampung halaman. Pastikan pintu-pintu dan jendela-jendela selamat dikunci, suis perkakas elektrik ditutup. Apa yang lebih penting, pandulah dengan penuh berhati-hati. Semoga perjalanan pulang anda semua selamat hendaknya.
Di
kesempatan ini juga saya ingin menyusun jari-jemari ini bagi memohon ampun dan
maaf di atas segala kekhilafan dan kelemahan diri saya selama ini. Marilah kita
bersama bermaaf-maafan. Saya dengan ini mengucapkan "Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir & Batin" kepada semua Ahli Jawatankuasa Penaja Persatuan Penduduk RIO Ambangan Heights serta seluruh warga RIO dan Ambangan Heights.
Yang Ikhlas,
Pengerusi Jawatankuasa Penaja
Persatuan Penduduk RIO Ambangan Heights

No comments:
Post a Comment